ISU MORAL TEMPATAN


  • GENGSTERISME

     Gengsterisme adalah jenis salah laku yang sudah lama wujud di kalangan pelajar dan masih berterusan hingga kini. Menurut Thrasher (1963) yang merupakan pelopor awal tentang kajian gengsterisme mengutarakan bahawa pada awal remaja, golongan ini berpotensi untuk mewujudkan geng. Golongan remaja ini mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka. Thrasher (1961) juga mendefinisikan geng sebagai satu kumpulan yang mempunyai ciri-ciri seperti mengikut tingkahlaku yang sama, perjumpaan secara bersemuka, gerakan secara berunit, konflik dan mempunyai perancangan.
     Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi seseorang remaja dan kanak-kanak terlibat gengsterisme. Antara faktor berlakunya gejala ini ialah masalah institusi keluarga. Masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam keluarga boleh menyebabkan kegiatan negatif seperti peras ugut berleluasa. Pelajar berkenaan mungkin terikut-ikut dengan sikap ibu bapa yang saling mengugut apabila bertengkar. Jadi, masalah ini dibawa ke sekolah dan mereka mula mengambil kesempatan terhadap pelajar lemah dengan mengugut mereka. Faktor pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kepada terjadinya kegiatan samseng. Terdapat pelajar yang memeras ugut dan sebagainya kerana terikut-ikut dengan akhlak rakannya yang samseng. Mereka akan bertindak liar apabila mendapat sokongan daripada rakan-rakan untuk melakukan perbuatan tersebut. Mereka seronok melihat pelajar yang menjadi mangsa menderita kesakitan. Pengaruh media massa juga tidak dapat dinafikan. Dewasa ini, banyak stesen televisyen yang menayangkan filem atau program yang berunsur ganas. Anak remaja biasanya terpengaruh oleh aksi-aksi mereka secara membabi buta dan mereka tidak akan teragak-agak meniru aksi ganas tersebut.
     Bagi menangani isu ini, media massa berperanan memaparkan pendedahan dan pengetahuan berkaitan gengsterisme. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia boleh mengambil beberapa langkah pencegahan seperti menganjurkan bengkel, seminar serta kursus-kursus berhubung dengan masalah gengsterisme yang perlu dihadapi oleh guru. Seterusnya, kerjasama daripada pihak luar seperti komuniti, pihak Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah perlu untuk memantau kegiatan para pelajar terutama sekali semasa dalam perjalanan ke sekolah dan pulang dari sekolah. Ini mendorong kegiatan perlakuan gengsterisme di sekolah berada di tahap sederhana sama ada di dalam sekolah, di luar sekolah dan semasa perjalanan pergi dan balik sekolah.


  • KES BULI
     Di sekolah-sekolah Malaysia, masalah buli merupakan satu masalah disiplin yang utama pada ketika ini. Akhbar Utusan Online keluaran 9 April 2016 melaporkan bahawa seorang pelajar mangsa buli di sekolah retak leher. Tingkah laku buli boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk dan cara tanpa mengira jantina. Secara umumnya, tingkah laku buli boleh didefinisikan sebagai satu perbuatan negatif oleh seseorang yang lebih kuat atau berkuasa terhadap seseorang yang lain, yang lebih lemah atau kurang berkuasa secara berulang kali. Tingkah laku buli ialah tingkah laku agresif yang dilakukan secara berulang kali terhadap orang lain secara individu atau secara berkumpulan (Olweus, 1993b). Menurut Rigby (1996) pula, tingkah laku buli ialah perbuatan menekan atau menindas sama ada secara fizikal atau psikologi oleh seseorang yang lebih berkuasa terhadap seseorang yang tidak berkuasa.
     Tingkah laku buli tidak dapat dinafikan merupakan sebahagian daripada tingkah laku agresif. Terdapat beberapa teori yang berkaitan keagresifan. Satu daripadanya ialah Teori Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Albert Bandura (1973). Teori pembelajaran sosial menyarankan bahawa keagresifan ialah sesuatu yang dipelajari dan bukannya secara semula jadi wujud dalam diri seseorang individu. Tingkah laku agresif dipelajari daripada persekitaran sosial seperti interaksi dengan keluarga, interaksi dengan rakan sebaya dan media massa (Mahmood Nazar, 2001).
     Antara punca kejadian buli di kalangan pelajar di kedua-dua peringkat persekolahan menengah dan rendah ialah latar belakang keluarga. Ibu bapa yang sering bertelagah cenderung untuk mempunyai anak-anak yang mempunyai risiko untuk menjadi lebih agresif. Penggunaan kekerasan dan tindakan-tindakan yang keterlaluan dalam usaha untuk mendisiplinkan kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga dan guru secara tidak langsung boleh menggalakkan perlakuan buli di kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang kurang mendapat kasih sayang, didikan yang sempurna dan pengukuhan positif lazimnya akan menjadi pembuli. Selain itu, persekitaran dan budaya sekolah turut mempengaruhi interaksi, aktiviti dan tingkah laku pelajar di sekolah. Pengurusan serta pengawasan disiplin sekolah yang lemah akan mengakibatkan wujudnya tingkah laku buli di sekolah. Seterusnya, paparan aksi dan tingkah laku ganas di kaca televisyen dan media-media elektronik mempengaruhi tingkah laku ganas kanak-kanak dan para remaja. Ianya mungkin secara khusus berlaku kepada mereka yang mempunyai masalah kawalan tingkah laku, emosi dan pembelajaran. Mereka lazimnya akan melihat tingkah laku dan aksi ganas sebagai satu cara yang efektif untuk menyelesaikan masalah.
     Langkah-langkah bagi menangani masalah ini ialah melaksanakan program bagi mencegah dan menangani masalah buli melibatkan semua peringkat iaitu semua menengah, rendah, bandar dan luar bandar sekolah di seluruh negara. Seterusnya, pihak Kementerian Pelajaran perlu merangka dan mewujudkan model program anti buli yang khusus bagi mencegah dan menangani masalah perlakuan buli di sekolah-sekolah. Selain itu, pihak guru berperanan untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya aktiviti buli dengan melakukan pemantauan di dalam kelas serta mengawasi pergaulan atau aktiviti-aktiviti pelajar serta bagaimana mereka berkomunikasi.


  • Statistik Kes Buli



TAHUN
KES
2012
4, 159
2013
4, 120
2014
2, 825
2015
2, 968
                             Sumber KPM         
Statistik Kes Buli di Malaysia


  




                                                 ISU MORAL GLOBAL

  • PEMBUANGAN BAYI
     Kes pembuangan bayi bukanlah perkara yang baru lagi pada zaman sekarang. kes ini telah berlaku sejak lama dahulu. Negara Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mempunyai kes sebegini malahan, negara lain juga turut menghadapi kes ini. Menurut Kamus Dewan Edisi 4, halaman 208, perkataan buang bermaksud mencampakkan, melemparkan, menghapuskan dan menghilangkan. Perkataan bayi bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh si ibu. Manakala, pembuangan bayi pula adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa tanpa ada sifat perikemanusiaan.
     Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi. Antaranya ialah kurang didikan dan kefahaman agama. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah menyebabkan mereka terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku. Rakan-rakan yang negatif akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, contohnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam seks rambang akhirnya akan menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka. Faktor seterusnya ialah sikap ingin tahu remaja. Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini.
     Bagi mengatasi masalah ini dari terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang penuh kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mencorak sahsiah peribadi remaja daripada terjebak dengan gejala ini. Pihak pentadbiran sekolah perlu mewujudkan Sekolah Bebas Gejala Sosial dengan mengadakan pendidikan secara komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah. Akhir sekali ialah pencegahan sebelum berlaku. Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Semua pihak mestilah bekerjasama dalam mewujudkan kesedaran tentang kesan dan bahaya pembuangan bayi.



  • LAMPIRAN
Kes Buli

Pembuangan Bayi
Gengsterisme



Ulasan